
buat kita semua..
"Mana Mak?"
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak
kelihatan resah. Mak tunggu adik
bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong
siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik
main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv
dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik.
Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau
tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin.
Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang
sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak
ambil berat di mana anak-anak Mak dan
bagaimana keadaan anak-anak Mak
setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah.
Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju
barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab,
“Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari
Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa
menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya
mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan
Adik yang sedang melayan facebook.
Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat
jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak
ada siapa merasa ingin tahu di mana
Mak. Mata dan hati anak-anak Mak
tidak pada Mak. Hanya mata dan hati
Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu
setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni
dah senja-senja pun merayap lagi. Tak
reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-
kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari
mendakap Mak apabila balik dari
sekolah. Mereka akan tanya "Mana
Mak?" apabila Mak tidak menunggu
mereka di depan pintu.
Mereka akan tanya, "Mana Mak."
Apabila dapat nombor 1 atau kaki
melecet main bola di padang sekolah.
Mak resah apabila anak-anak Mak
lambat balik. Mak mahu tahu di mana
semua anak-anaknya berada setiap
waktu dan setiap ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar.
Sudah lama anak-anak Mak tidak
bertanya 'Mana Mak?"
Semakin anak-anak Mak besar, soalan
"Mana Mak?" semakin hilang dari bibir
anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu
Mak. Ayah resah menunggu Mak
kerana sudah senja sebegini Mak masih
belum balik. Ayah risau kerana sejak
akhir-akhir ini Mak selalu mengadu
sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan
memakai payung yang sudah uzur.
Besi-besi payung tercacak keluar dari
kainnya. Hujan masih belum berhenti.
Mak menjinjit dua bungkusan plastik.
Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan
bawa sesuatu untuk anak-anak Mak
apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti
di depan deretan kereta anak-anak
Mak. Mak buangkan daun-daun yang
mengotori kereta anak-anak Mak. Mak
usap bahagian depan kereta Ateh
perlahan-lahan. Mak rasakan seperti
mengusap kepala Ateh waktu Ateh
kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak
diketap repat. Senyum tertahan, hanya
Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak
dapat lagi merasa mengusap kepala
anak-anak seperti masa anak-anak
Mak kecil dulu. Mereka sudah besar.
Mak takut anak Mak akan menepis
tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak
berdiri megah. Kereta Ateh paling gah.
Mak tidak tahu pun apa kehebatan
kereta Ateh itu. Mak cuma suka
warnanya. Kereta warna merah bata,
warna kesukaan Mak. Mak belum
merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah
tutupkan payung mak. Mak bagi salam.
Salam Mak tidak berjawab. Terketar-
ketar lutut Mak melangkah anak
tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke
rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja.
Sebungkus rebung dan sebungkus
kueh koci pemberian Mak Uda untuk
anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-
anak Mak suka makan kueh koci dan
Mak malu untuk meminta untuk bawa
balik. Namun raut wajah Mak sudah
cukup membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh
koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat
berkata kepada Mak Uda, "Wah
berebutlah budak-budak tu nanti
nampak kueh koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan
Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak
sedang gembira menikmati kueh koci
sebagimana masa anak-anak Mak kecil
dulu. Mereka berebut dan Mak jadi
hakim pembuat keputusan muktamat.
Sering kali Mak akan beri bahagian Mak
supaya anak-anak Mak puas makan.
Bayangan itu sering singgah di kepala
Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah
itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak
ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak
makan kueh koci. Tidak seorang pun
yang menoleh kepada Mak. Mata dan
hati anak-anak Mak sudah bukan pada
Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan
keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh
mengharapkan anak-anak melompat-
lompat gembira dan berlari
mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak makan. Mak
menyuap nasi perlahan-lahan, masih
mengharapkan anak-anak Mak akan
makan bersama. Setiap hari Mak
berharap begitu. Hanya Ayah yang
duduk bersama Mak di meja makan
setiap malam.
Ayah tahu Mak penat sebab berjalan
jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah
Mak Uda di kampung seberang untuk
mencari rebung. Mak hendak masak
rebung masak lemak cili api dengan
ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak
telepon suruh anak-anak jemput. Mak
jawab, "Saya dah suruh Uda telepon
budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata
semua tak berangkat."
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak
yang Mak tidak boleh berjalan balik
sebab hujan. Lutut Mak akan sakit
kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati
Mak agar salah seorang anak Mak akan
menjemput Mak dengan kereta. Mak
teringin kalau Ateh yang datang
menjemput Mak dengan kereta
barunya. Tidak ada siapa yang datang
jemput Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar
telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata
ayah, “Kita tak usah susahkan anak-
anak. Selagi kita mampu kita buat saja
sendiri apa-apa pun. Mereka ada
kehidupan masing-masing. Tak payah
sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-
anak kita. Tak apalah kalau tak merasa
menaiki kereta mereka sekarang. Nanti
kalau kita mati kita masih ada peluang
merasa anak-anak mengangkat kita kat
bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah
besar. Along dan Angah sudah beristeri.
Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-
masing sudah punya buah hati sendiri
yang sudah mengambil tempat Mak di
hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata
Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh
anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh,
Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak
ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan
Adik tidak sempat melihat Mak waktu
Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya
bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan tangis, Along, Angah,
Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa
kubur Mak. Hanya batu nisan yang
berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak
boleh bersuara. Batu nisan tidak ada
tangan macam tangan Mak yang selalu
memeluk erat anak-anaknya apabila
anak-anak datang menerpa Mak
semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh,
Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di
bandar. Kata Along, Angah, Ateh,
Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak
dengar handphone berbunyi semasa
ayah telepon untuk beritahu mak sakit
tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-
anak Mak adalah untuk orang lain
bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak
lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah
diberikan kepada sesiapa, hanya untuk
anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di
atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu
ayah yang sempat mengangkat jenazah
Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak
yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?",
"Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana
Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya
Mak saja yang rajin menjawab soalan
ayah itu dan jawapan Mak memang
tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin
dengan jawapannya sebab mak ambil
tahu di mana anak-anaknya berada
pada setiap waktu dan setiap ketika.
Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak
tetapi hati anak-anak Mak ada orang
lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah
bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak
perlu bertanya lagi kepada Along,
Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik ,
"Mana mak?" "
Kereta merah Ateh bergerak perlahan
membawa Ayah pulang. Along, Angah,
Alang dan Adik mengikut dari belakang.
Hati ayah hancur teringat hajat Mak
untuk naik kereta merah Ateh tidak
kesampaian. Ayah terbayang kata-kata
Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh,
kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah
kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu.
Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh
memanggil ayah. Ayah pengsan
sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana
Mak?"
Ayah tidak mampu berhenti menanya
soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi
namun soalan "Mana Mak?" masih
sering keluar dari mulut Ayah sehingga
ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan
anak-anak. Kata orang hidup seorang
ibu waktu muda dilambung resah,
apabila tua dilambung rasa. Kata
Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama
dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu
lebih utama dari isteri, pekerjaan dan
anak-anak sebenarnya. Solat sunat
pun Allah suruh berhenti apabila ibu
memanggil. Berapa kerapkah kita
membiarkan deringan telepon
panggilan dari ibu tanpa berjawab?



